rumah pra sejarah..

rumah pra sejarah..

Jumaat, 22 Oktober 2010

Sejarah Kampung....

Kampung Parit Tok Ngah Bawah adalah sebuah kampung dalam Daerah Kerian dan terletak di antara perjalanan dari Parit Buntar ke Tanjung Piandang. Ianya telah di tadbirkan oleh beberapa generasi JKKK. Kampung Parit Tok Ngah Bawah mendapat nama dari sejarahnya tersendiri dan perlu di hargai oleh semua penduduk. Nama Kampung Parit Tok Ngah Bawah di ambil dari seorang insan yang bernama Tok Ngah dan ianya terletak di bahagian sebelah bawah sebuah parit yang menuju ke kuala. Oleh yang demikian, JKKK Kampung Parit Tok Ngah Bawah telah berusaha mencari dan menyingkap fakta sejarah awal mengenai Kampung Parit Tok Ngah Bawah yang mana ianya bermula pada akhir abad ke 16, iaitu dari cerita orang-orang tua yang menduduki kampung ini bahawa ianya telah dibuka atau mula diterokai oleh seorang insan yang bernama Tok Ngah. Tok Ngah telah meneroka tanah di sepanjang parit yang terletak dari Pekan Bagan Tiang hinggalah hampir ke Pekan Batu Lima kini.
Kampung Parit Tok Ngah sebenarnya merupakan kesinambungan satu parit yang sangat panjang dari Parit Tok Ngah Bawah, Parit Tok Ngah Atas dan Parit Tok Ngah Jalan Baru. Kesahihan Tok Ngah menerokai kampong ini sepanjang itu tidaklah jelas. Akan tetapi, di Parit Tok Ngah Bawah ini memanglah jelas, sebagai bukti peninggalan yang ada, menurut pengetahuan orang-orang tua dahulu, beliau telah meninggal dunia di Parit Tok Ngah Bawah ini dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Jamek Parit Tok Ngah Bawah. Ada penduduk kampung berpendapat, mengatakan Tok Ngah adalah seorang yang mempunyai ilmu persilatan yang sangat hebat pada masa itu. Dengan kehebatan tokoh ini, ianya telah mengundang orang-orang dari Banjar Masin bermastautin di kampung ini. Hingga kini, hampir 70% daripada penduduk kampung ini berketurunan Banjar. Tok Ngah telah meninggal dunia pada abad ke 17. Dengan kemasyhuran itu, di ketika hujung abad ke 18 dan awal abad ke 19, terdapat orang-orang Melayu zaman itu datang menziarahi kubur Tok Ngah untuk melakukan upacara membayar niat atau memohon hajat. Alhamdullillah, kini amalan seperti itu sudah tidak di lakukan lagi pada masa ini.
Selepas kematian beliau, terdapat satu lagi sejarah yang istimewa mengenai Kampung Parit Tok Ngah Bawah yang mana ianya menjadi tempat persinggahan kerabat Di Raja Perak Al-Marhumah Permaisuri Chek Teh binti Abdullah. Al-Marhum Sultan Iskandar (iaitu Bapa Sultan Idris) telah mengahwini Al-Marhumah Permaisuri Chek Teh binti Abdullah. Perkahwinan Al-Marhum Sultan dengan Al-Marhumah Permaisuri tidak mempunyai zuriat dan oleh yang demikian, Baginda Permaisuri selalu datang ke Kampung Parit Tok Ngah Bawah kerana mempunyai tanah di kawasan ini. Baginda Permaisuri telah kembali ke rahmatullah dengan meninggalkan tanah milik baginda seluas lebih kurang 30 ekar dan sebuah rumah persinggahannya berhadapan Masjid Jamek Parit Tok Ngah (dahulunya diberi pada nenek En. Mohamed Desa bin Ramly). Hasil peninggalan sejarah tersebut yang masih ada hingga kini ialah salah satu jalan dalam kampung ini diberi nama Batas Raja, membuktikan bahawa tanah bumi Kampung Parit Tok Ngah Bawah ini pernah di duduki Al-Marhumah Baginda Permaisuri. Oleh yang demikian, generasi pentadbiran JKKK Kampung Parit Tok Ngah Bawah telah mengekalkan nama jalan tersebut sehingga kini